Wangian Kasih
Biar
aku ceritakan sesuatu pada kau. Mana tahu boleh ditokok pengalaman yang
sedia bertapak pada batas riwayatmu. Kau tahu, sehingga saat ini aku
nian mengasihi dirinya yang istimewa itu. Sememangnya aku tika seusiamu
dulu juga mementingkan keindahan ciptaan Allah hinggakan aku alpa dengan
keperluan paling bermakna dalam hidup ini.
Bahagian
mana ingin kumulakan. Segala tentangnya amat manis bagiku. Mungkin saja
aku hampir menggugurkan kolam mata lelakiku, entah untuk keberapa kali
hanya sekadar ingin berkongsi keajaiban yang mewarnai laluanku.
Sejak
ibuku meminangnya, aku kurang yakin dengan kemampuannya untuk
menyerikan mahligai yang bakal terbina. Kata itu aku hanya rela dalam
paksa. Tidak kuduga, jodoh ini benar-benar meronakan keindahan yang
sukar kulontarkan melalui marsum ini. Aneh bukan? Siapa dia di
mataku.....
Aku
bangga bila mengetahui yang dia seorang gadis yang amat memelihara
kehormatan. Sehingga belum pernah mengenali seseorang lalaki pun sebelum
aku! Lelaki mana sanggup menolak tuah? Tanyalah mana-mana insan lelaki
yang tidak mementingkan keperawanan tulen seorang permpuan. Sungguh
dayus jika mereka tidak peduli gadis yang lepas bebas pergaulan.
Menafikan hak kewanitaan mereka dengan alasan mengikut peredaran zaman.
Benar, aku bukan ustaz, jauh sekali Nabi. Namun sebagai lelaki, tentu
kau mampu menyelami kehendak dan citarasa seorang bernama LELAKI.
Kala
pertama kali bersua bersua mata, aku melihatnya ketika setelah diijab
kabulkan, wajahnya sungguh tenang. Di sebalik kerudung labuh putih
santunnya dipugar senyuman tenang mengucup tanganku. Dia memohon agar
aku bersedia menerimanya sebagai amanah Allah. Aku membalas sentuhan
ikhlasnya dan cuba untuk menjadi pelindung yang menyenangkan hatinya.
Dinihari
yang sejuk aku seolah divaksin pelali terus ke bilik air bersuci dan
sejurus melabuhkan dahi sujud pada Ilahi. Masih terasa usapan lembutnya
yang menuang semangatku bertemu Pencipta. Mungkin berkat tekakku
dibasahi segelas susu yang disediakannya sebelum tidur. Katanya ikut
sunnah Rasulullah. Aku hanya menurut sedangkan sebelum ini jenama susu
memang tidak pernah singgah di tekakku sejak kecil.
Seminggu
ku membawanya berbulan madu sekaligus sebagai maharnya ke Tanah
Haramain. Aku terkedu tika jari halusnya memotong rapi kuku tanganku,
bahkan kuku kaki. Terasa dimanjakan pula! Malah pelipis dan janggutku
sentiasa kemas seolah segala milikku adalah haknya juga. Kasihku mula
mengakar kuat padanya. Inikah yang dikatakan Rasulullah perhiasan dunia?
Jangan
terkejut jika aku khabarkan yang aku telah meletak jawatan mendadak
sebagai peguambela mahkamah sesyen. Kepada semua kunyatakan yang aku
telah digoda kebun ayah yang berekar-ekar milik arwah ayah yang terbiar.
Perlu diusahakan segera. Namun yang tersirat dalam perancangan-Nya. Aku
hanya mampu memuji kebesaran-Nya yang menganugerahkan aku seorang
‘penyelamat’ yang mencelikkan mata hati dan memahamkan aku tentang
kejadian insan di sisi Tuhan.
Kini,
aku yakin dengan kerjaya baruku. Tambahan dia sentiasa di samping
meniup cinta setia ke dalam jiwaku. Oh Tuhan, izinkan aku bersamanya
hingga ke syurga-Mu.
Anak
kelima kami lahir kembar. Aku memasang niat untuk menyediakan seorang
pembantu bagi meringankan rutinnya. Dia menolak baik cadanganku. Memang
aku akui, sekalipun terlalu disibukkan oleh kerenah anak-anak, keperluan
dan layanan buatku tetap kelas pertama. Biarpun permaisuri hatiku ini
tidaklah secantik wanita lain, tapi kejernihan wajahnya sungguh
menenangkan jiwaku. Mungkin wajahnya sentiasa di hiasi dengan air wuduk
dan memberikan ketenangan padaku walau berdikit digigit hambatan usia.
Pandanganku di luar rumah terkunci oleh kebijaksanaannya mengurus diri.
Sering aku berasa mengecapi saat pengantin baru.
Tidak
sempat untukku meletak punggung, sudah tiba air suam bermadu bersama
senyuman manis buatku yang keletihan memerah keringat di kebun. Belum
nalar sengal-sengal memukimi sendiku, tangan mulusnya tegar menjamah
lantas menyahkan tekanan yang kualami seharian diterjah mentari.
Soal
mentarbiah anak-anak tidak sepenuhnya kuserah kepundaknya. Demi
menyeimbangkan keperluan kasih sayang dan masa depan mereka, aku betah
untuk meluangkan masa emasku. Semua ini kulakukan kerana dia telah
memperkenalkan dengan hikmah baitul muslim. Alangkah bertuah memiliki
dirinya. Dan aku sedayanya menjadikan diriku bererti baginya. Adakala
terbetik di hatiku, adakah orang lain merasai apa yang kukecapi?
Selama
ini ada juga aku termakan momokan kegagalan rumahtangga melalui
fail-fail kes di firma guaman temanku. Lantaran apa yang kualami
sekarang menawarkan fobia yang menjelira.
Apabila ku memuji ketaatannnya terhadapku, dia membalas dengan ucapan yang menyamankan sanubariku. Sungguh!
“Abang, segala kelebihan dan keiistimewaan itu milik Allah yang dipinjamkan sebagai hadiah buat abang yang baik budi.”
“Semakin
sayang Allah pada kita, semakin diuji iman kita kepada-Nya. Namun
dirawat-Nya dengan sebaik-baik penawar, ketenangan pada hati.” Kalam
yang keluar dari bibir merah itu menginsafkan aku. Betapa taqwa
kepada-Nya yang mengikat kukuh cinta kami.
Sesekali
kondisi tubuhku lemah, penuh kasih dia setia di sisi bersama sentuhan
saktinya hingga kurasakan tidak perlu ke hospital kerana di mahligaiku
sudah ada doktor pakar.
Suatu
hari dia meminta agar ku mengambil seorang wanita sebagai pembantu
kami. Alasannya semata-mata ingin membantu wanita yang baru kematian
suami itu menyara anak-anak yang masih kecil. Kali ini aku akur demi
memenanangi hatinya. Bukan sekali dua dia menolak untuk kuhadiahkan
sesuatu barang berharga di hari-hari istimewa sebagaimana yang dilakukan
oleh teman-temanku terhadap isteri mereka.
Diam-diam
aku mengkagumi kemuliaan akhlak yang terpancar dari dirinya. Tidak
pernah dia meminta malah sentiasa berterima kasih dengan apa yang telah
kusediakan. Katanya, memadailah perhatian dan penghargaanku selama
menyintainya sepenuh hati. Ah, masakan tidak wahai kekasihku. Perutku
memang diikat dengan air tangannya sehingga aku tidak betah untuk makan
di luar hatta sebungkus nasi lemak dan secawan kopi kecuali diundang
rakan.
Kini
dia puas kerana dapat membantu kak Jannah. Tugas rutinnya tetap
dibereskan. Kak Jannah hanya menolong apa yang perlu. Tetapi upah untuk
Kak Jannah tetap dibayar penuh atas permintaannya yang mewah dengan
simpati.
Hatiku
dipanah durja bila dia menyuarakan agar aku mengawini Kak Jannah. Kali
ini hatiku memberontak. Tidak sanggup untukku membahagikan kasihku
biarpun dia rela. Sekali-kali tidak. Itu keputusanku. Namun tidak
kusuarakan kepadanya, bimbang melukakan. Di luar sedarnya aku menyusun
rancangan.
“Kak
Jannah tak jadi pembantu kita selepas ni. Sebab dia telah dilamar Kamal
untuk bekerja kilang menggred buah.” Wajahnya berubah tatkala
kulontarkan berita Kak Jannah.
“Jangan
bimbang, kerja dia mudah tapi gaji mahal sebab Kamal pun tahu
keadaannya.” Kuharap jaminan itu mampu mengendurkan kegusaran hatinya.
Riak wajahnya tidak berubah. Maafkan abang Nur! Lega kerana
perancanganku berjaya. Biarkan kutelan pahit dusta asal kasihku tetap
miliknya seorang.
Kejayaan
yang kuraih kini tidakkan terealisasi tanpa sokongan termahal darinya.
Projek herba dan buah-buahan yang kami usahakan telah menembusi pasaran.
Baginya rezeki itu kurniaan-Nya. Tiada nilai jika usaha yang sejemput
itu sebagai pertaruhan bahawa ia lahir dari keringat yang tertumpah.
Apa yang penting, bakti kepada tanah lebih mengeratkan hubungan sesama
mkhluk. Begitu prinsip yang kugenggam selama bersamanya. Mesti kau
tertanya-tanya, adilkah aku membiarkan ijazah sarjananya hanya bersimpuh
di celah dokumen penting milikku? Nah, dia bebas kulepaskan
memanjangkan urusan risalah Nabi. Hujahnya menobatkan lisan Rasul
kuterima dengan lapang dada. “Sesiapa mengucapkan lailahaillahallah maka
dia adalah pendakwah.” Betapa teguhnya keberkatan ilmu yang diburunya
beberapa musim di menara gading.
Kulihat
tidak ramai muslimah yang betah keluar menyampaikan ilmu setelah
menyandang kerjaya isteri dan ibu. Padanya kutiup kobar dan redha di
atas usaha murninya.
Cemburu?
Bagaimana perasaan itu akan hadir jika hanya menampakkan dua mata
bintang timurnya yang hanya mempesonakan mata dan hatiku sahaja tika
penuhi tuntutan mauizah kepada masyarakat.
Perintah
Allah dan Rasul sememang telah sebati dalam dirinya. Tidak perlu aku
bersusah payah untuk menjelaskannya. Bahkan diriku yang kemarau ilmu
Islam lebih terperinci ini tidak jemu didekatinya dengan penuh hikmah.
Seingatku hanya sekali aku terlepas kata. Hanya Tuhan yang tahu betapa
kesal merempuh egoku tanpa belas. Wanita sebaiknya tidak wajar dikasari.
Aku kembali mengumpul azam. Sekalipun aku pergi dulu, akan kukesani haluan langkahnya ke mana-mana syurga Allah.
Aku pasti dengan sabdaan baginda bagi isteri yang diredhai suaminya, ke atasnya hak memasuki mana-mana syurga yang disukainya.
“Abi,
kenapa tak tidur lagi?” Sapaan lembuh Humairah merenggut ingatan manis
itu. Dia mengucup mushof di tangan. Masih bersisa air mata di pipi
tuanya. Humairah lantas memapahnya ke birai katil.
Mulut basah dengan Asma Allahul Husna.
“Abi,
jangan paksa diri baca Quran sampai lemah macam ni.” Sambil tangan
Humairah lincah menepuk-nepuk bantalnya lantas mendaratkan duduknya ke
sisi.
“Humairah tau, abi kenangkan arwah ummi. Kalau ummi ada tentu dia sedih tengok abi macam ni.”
“Ummi bahagia di sana, abi.” Dia hanya menelan pahit kalam Humairah.
“Humairah
mana Zahrah?” Dia mengangkat wajah yang kian lesu dicantas kenangan.
Humairah mendapatkan kembarnya. Dia arif emosi abi sejak pemergian ummi
enam tahun dulu. Walau sudah puas dipujuk abang-abangnya untuk tinggal
bersama, dia tetap di mahligai yang memotretkan nostalgia mahal miliknya
dan ummi.
“Abi tak tinggalkan harta dunia buat kamu berdua.”
Sesekali diselangi batuk yang mendesar. Humairah mengurut dada abinya.
“Cukuplah didikan abi dan ummi untuk kamu jadikan pedoman menjalani amanah sebagai hamba-Nya.”
Sejenak
dia merenung wajah kembar seiras yang menjalin sepenuhnya kekasih hati
yang meninggalkannya.” Apakala tiba saat kamu dikahwini seorang lelaki,
taatlah kepadanya.”
“Redha
Allah terletak pada redha suami...” bicaranya terhenti di situ. Tidak
mampu lagi diungkapkan. Andai diteruskan tangan mulus Nur masih setia
menggenggam jemarinya erat tika diasak duka.
Lenanya
kini benar-benar menyegarkan. Bibir biru mengukir senyuman terindah
seorang suami soleh yang mendambakan pertemuan abadi bersama isteri yang
mendahului sekalian bidadari.
Untuk
akhirnya, aku memuji kebesaran Allah di atas pertemuan dan perpisahan
sementara ini. Aku puas kerana dapat meluahkan pengalamn ini kepadamu
walaupun aku pasti, wajarkah tindakanku ini? Ambillah ia sebagai uswah
kala memilih teman hidup. Wanita yang menjunjung al-Quran dan Sunnah
berada di hadapanmu. Jangan tersilap pilih, kerana bimbang membekas
sengsara di negeri kekal.
Sesudahnya
titipan doa terakhirku buatnya. Terima kasih tidak terhingga kerana
meluangkan cinta-Mu ya Muhaimin untukku yang fakir ini mengasihi seorang
wanita hebat lagi terpelihara. Semoga wangian cintaku dan Nur akan
kembali menhujani taman-taman jannah-Mu ya Illahi.